Ehsan dalam berhutang

Saya malu untuk bercakap soal hutang. Kerana, saya sendiri kadang-kadang terperangkap dalam isu ini. Pemberian hutang itu terhasil daripada ehsan dan kasih sayang.

Bukankah baginda saw berpesan bahawa barangsiapa yang menghapuskan kesukaran yang dihadapi oleh saudara seimannya, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya hal-hal yang sukar.

Meskipun begitu, Baginda saw turut menasihati orang yang berhutang agar segera melunaskannya.

(مطل الغني ظلم)

Kerana lambat dalam membayar semula hutang adalah satu bentuk kezaliman ke atas pemberi hutang.

Walau bagaimanapun, sang pemberi hutang walau merasa terdera dengan wang yang belum dikembalikan, Rasulullah saw sendiri memujuknya dengan maksud sabdanya,

“Barangsiapa yang memberi hutang sehingga sesuatu tempoh, maka jumlah hutang itu dikira sedeqahnya sepanjang tempoh tersebut. Apabila tempoh yang diberikan tamat, maka jumlah itu dilipat sebanyak dua kali ganda sebagai sedeqahnya bagi setiap hari yang tertunda…”

Memberi hutang adalah ehsan.
Membayar hutang juga ehsan.

Advertisements

Masjid Dhirar di Kota Damascus

Saban tahun, tidak sedikit masyarakat asia yang datang bertandang ke Kota Damascus bagi mempelajari Bahasa Arab selama beberapa bulan. Kebanyakan mereka terdiri dari kalangan pelajar lepasan SPM dan universiti. Di sini, terdapat tiga pusat belajar bahasa yang biasa dihadiri oleh para pelajar, iaitu pusat bahasa antarabangsa yang bertempat di Mazzeh (saya tidak tahu nama markaznya), yang kedua adalah pusat bahasa di Institut Syeikh Ahmad Kiftaro yang bertempat di Ruknuddin, dan yang ketiga adalah pusat bahasa kendalian sebuah yayasan kebajikan yang bertempat di Masjid Dhirar, kawasan Bab Touma. Barangkali masih wujud yang lain, cuma saya sahaja yang tidak tahu.

image

Masjid Dhirar

PUSAT BAHASA DI MASJID DHIRAR

Pusat bahasa yang pertama dan kedua tidak asing lagi di kalangan para pelajar asia, kecuali yang ketiga. Pusat bahasa di Masjid Dhirar tidaklah begitu masyhur dan mewah seperti yang lain. Ia hanyalah beberapa bilik darjah yang bersaiz kecil. Hatta, pengajian bagi kelas saya pun diadakan di maktabah. Guru-guru di sini sederhana bilangannya. Sesuai dengan kelolaan yayasan kebajikan, para pelajar di sini menikmati pembelajaran secara percuma. Gaji para guru dibayar oleh pihak yayasan, dan saya pasti, ianya tidaklah begitu lumayan.

Meskipun begitu, pusat di sini tidak menjadi pilihan utama para pelajar. Ini kerana, ia tidak menyediakan sijil yang diiktiraf dan tempoh pembelajarannya agak panjang. Tidak seperti di Abu Nour (Institut Syeikh Ahmad Kiftaro) yang mana para pelajar boleh menyiapkan kursus selama beberapa bulan sahaja. Antara sebab lain, kualiti disiplin dan silibus di Masjid Dhirar tidaklah seberat dan sebagus pusat bahasa di Mazzeh dan Abu Nour.

Namun, sepanjang belajar di sini, saya merasa seronok. Hubungan sesama pelajar dan guru sangat rapat. Mana tidaknya, satu kelas hanya mempunyai bilangan pelajar yang tidak lebih daripada sepuluh orang. Jika guru belum tiba, kami manfaatkan waktu dengan bersembang. Haha.. kalau sembang sesama Melayu, memanglah dikira membazir. Tetapi apabila kami bersembang dengan Afrika, China dan wilayah Russia dengan perantaraan Bahasa Arab, ia seumpama latihan bagi memantapkan kemahiran berbahasa. Lebih-lebih lagi, pelajar Melayu hanyalah beberapa kerat di sini.

Kelebihan belajar bahasa di Syria inilah. Beberapa kerat sahaja masyarakat Melayu yang wujud di sini. Al-hasil, hampir sepanjang hari kami bermuamalah dengan Bahasa Arab. Berbeza dengan Kota Kaherah, pusat bahasanya banyak, tetapi pelajar hanya berbahasa arab tika berada di dalam kelas termasuk beberapa kali seminggu sekiranya pergi ke pasar. Perkataan harian pun beberapa patah sahaja, itupun bahasa kampung. Sikit-sikit ala gambek. Haha… Kalau pelajar yang mempunyai himmah tinggi, dia akan berusaha mencari kawan bukan Melayu untuk bersembang setiap hari, malah sanggup bertebal muka untuk berbual dengan masyarakat tempatan yang kita kurang memahami mereka, dan mereka pun tidak memahami bahasa arab jenis apa yang kita pakai. Hahaha…

image

Tempat perhimpunan besar-besaran di buat. Sama seperti Medan Rabaah atau Tahrir jika di Mesir.

Berbalik kepada pusat bahasa di Masjid Dhirar, antara sebab lain pelajar Melayu tidak ramai di sana adalah kerana lokasinya yang agak jauh. Pelajar Malaysia terutamanya lebih memilih penempatan di Ruknuddin atau Medan. Saya sendiri mengambil masa lebih setengah jam untuk tiba ke kelas setiap hari dari Ruknuddin. Bermula dengan van angkut dari Sahah Abu Nour ke Sab’u Baharat, kemudian tukar van lain untuk ke Bab Touma. Dari Bab Touma berjalan kaki menelusuri kawasan lori tomato dan pelupusan sampah selama 7 minit. Oh ya, Masjid Dhirar berada di tepi jalan besar serta bahagian kanan dan belakang adalah area pelupusan sampah. Itu sebabnya, pelajar di Masjid Dhirar sangat awesome bagi saya.

image

Masjid Dhirar ini bukanlah masjid sembarangan. Namanya merujuk kepada salah seorang sahabat Baginda s.a.w iaitu, Dhirar bin al-Azhar, abang kepada serikandi Khaulah, yang mana makam beliau dibina di bahagian bawah masjid ini. Malah, tidak jauh daripada masjid ini, makam Khaulah dan sahabat nabi s.a.w iaitu Syurahbil dipasakkan di pinggir Bab Touma.

Pun begitu, makam ini bukanlah kubur yang menyimpan jasad. Ia dibina sebagai simbol kedatangan mereka di sini. Makam Saidina Syurahbil bin Hasnah di Bab Touma bersempena pasukannya yang mengepung Kota Damascus semasa pembukaannya.

image

Makam Khaulah

Terlalu banyak tempat bersejarah yang masih kekal di Kota Damascus. Saya sendiri menyesal kerana tidak meluangkan waktu untuk menziarahi tempat-tempat sedemikian sepanjang keberadaan di sana. Oleh sebab itulah, saya sangat ‘tidak duduk diam’ di Bumi Kinanah sekarang. Moga-moga, Allah memperjelaskan hikmahNya di sebalik setiap sejarah yang wujud di Mesir ini.

Dan….. Sebenarnya, ada kisah cinta yang mula berputik di Masjid Dhirar. Ceritanya bakal saya lakarkan di entry akan datang.

Tulis with iman

Menulis bukanlah suatu hal yang mudah. Kalau ada orang yang gemar dan pandai menulis pun, ia tetap sukar. Karya ini bukan untuk dibaca semata-mata, tetapi untuk dipercayai.

Menulis itu perlu iman. Bimbang nanti orang menolak kita di hadapan tuhan seraya berkata, “Orang ini yang mempengaruhi saya…”

Justeru itu, berkatalah jujur. Berkatalah yang perlu. Dan berkatalah tepat pada waktu.

بداية مباركة

الحمد لله رب العالمين، و الصلاة والسلام على خير المرسلين على اله و اصحابه المكرمين. اما بعد،

الحمد لله. قد عدت الى هذا العالم يعنى العالم في فن الكتابة و القراءة، الذي بدأت به منذ عمري ١٣ سنة ثم تركته ايامي في دمشق بسسب عدم السهولة لاستخدامه (مشكلة بروكسي) و كسلاني في المكوك الى internet cyber.

من خلال هذه الايام، نشطت في المشاركة مع اصدقائي في الفيس. كتبت سيرة حياتي و اشياء رائعة فيه و لكن لا اشعر ببقاءها و انا اتمنى في مراجعتها بعد فترة طويلة كي اناشد ذكرياتي.

بارك الله في عملي و وفق كتابتي وجرها في خير.

image