Lewat – syukur

Berpuluh anak tangga lagi berbaki. Merah di ufuk menandakan bakal terbitnya matahari.

Dan kami, masih di bawah. Untuk terus ke puncak, makan masa hampir 10 minit. Bimbang pula terlepas subuh. Jadi, kami berwudhuk dan solat di post terakhir.

Usai solat, saya memandang ke atas, melihat anak tangga yang tidaklah begitu jauh. Mata saya beralih pula ke kaki langit. Matahari bakal muncul.

Berdasarkan pengalaman kali pertama mendaki Sinai, area puncak agak kecil. Memang berhimpit orang nak menikmati sunrise yang sememangnya menjadi impian orang ramai.

image

Ya, sana!

Ada pinggir yang agak lapang untuk menikmati sunrise. Saya dan Achik Mean segera menerjah ke sana. Bimbang ada orang yang beridea sama seperti saya.

Dari atas, saya menjerit kepada Makcik Zaidah (ibu Ruqayya Ali) dan anak, menantunya, “Jom! Naik sini. Tengok sunrise dari sini.”

Dan kami berlima sahaja, dengan tenangnya menikmati matahari terbit bersalut udara dingin yang begitu mempersonakan.

image

Dalam perjalanan pulang, ada antara pelancong yang mengadu, tak dapat bergambar waktu sunrise di puncak. Sesak sangat.

…. saya cuma tersenyum syukur.

image

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”

Wanita berkerudung kuning

Dalam perjalanan pulang ke Hayyu Sabik, Cairo, saya yang ketika itu sedang menaiki sebuah bas tertoleh ke arah seorang gadis berpurdah, berselendang kuning.

Warnanya agak menyerlah, lebih-lebih lagi dengan kulit wajahnya yang putih melepak.

Dia naik ke atas bas dan duduk di seat belakang.

Sehinggalah di stesen akhir, saya turun dengan mengangkut 11 jilid kitab Bahrul Mazi. Beratnya, agak-agaklah.

Saya beri laluan kepada dia untuk turun terlebih dahulu. Namun, saya perasan yang dia asyik melihat ke arah saya.

Dari atas bas, turun bas, dan sehingga saya parking sekejap tepi kiosk untuk galas beg elok-elok.

Di situ, dia menegur saya, “Bolehkah saya tolong? Berat ni kitab-kitab kamu.”

Saya tersenyum. Saya fikir kenapalah dia asyik tengok-tengok saya. Rupanya nak tolong.

Saya jawab, , “Tak mengapa. Terima kasih sangat.”

Dia sangat berkehendak untuk menolong. Saya pula, takkanlah sanggup biar perempuan yang angkut. Saya angkut takpe. Payah-payah, saya dah biasa. Tapi saya tak suka lihat orang lain, terutama golongan perempuan untuk buat kerja berat.

Poyo je. Haha…

Dia agak berharap. Lalu, saya pun menarik tangannya. Saya pimpin dia, berjalan seiringan sambil bertaaruf. Itu cara saya untuk alih perhatian dia.

Rupa-rupanya, dia junior saya di Maahad Buuth. Dan sekarang junior tahun 1 di kuliah Syariah. Tak hairanlah kenapa dia cantik, kelahiran negara Russia rupanya.

Kami berpisah di persimpangan jalan. Dalam hati, saya mendoakan dia dengan segala kebaikan. Semoga Allah merahmatinya dan keluarganya.

Lalu, Maha Suci Allah, yang menciptakan kemuliaan ini dan itu.

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”

Kucen

Semalam di Masjid Sultan Hasan, saya tak sedap badan dan muntah-muntah ketika Syeikh Muhanna sedang menyampaikan kalimatnya yang berharga.

Ada seekor kucing datang. Comel dan bersih. Dia mengelilingi saya dan duduk menemani saya di bekas ruang wudhuk di tengah-tengah halaman masjid.

Melihat saya tidak sihat dan muntah-muntah, kucing itu menatap saya seolah-olah berkata, “Sabar ye….”

Dia berbaring di samping saya sehingga saya tertidur keletihan.

Bangkit dari tidur, dia sudah tiada untuk saya ucap, “Terima kasih, kucen..”

Meowwwww 😴😴😴😴

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”

Dr Haitham Ghurrah

Suatu hari, saya bertanya kepada Dr. Haitham Ghurrah berkenaan rujukan-rujukan yang perlu dibaca bagi mendalami ilmu Balaghah.

Dr. menyebut beberapa kitab penting. Saya mencelah dengan menyebut nama kitab, “Balaghah min manabi’iha?”

image

Kitab tersebut merupakan karya Dr. sendiri. Namun, beliau dengan rendah hati menjawab bahawa kitab itu biasa-biasa saja, tidak layak disebut atau dibuat rujukan.

Saya membeli kitab ini setelah ternampak Dr. membawanya ke bilik kuliah. Memang perangai penuntut ilmu, nak guna buku persis buku yang digunakan oleh sang guru.

Buku ini payah nak cari. Puas saya pusing kawasan Halabuni, Dimasyq. Akhirnya menjumpainya di Maktabah Nur Sobah kalau tak silap.

Dr. Haitham merupakan Dr kegemaran saya. Beliau mengajar penuh teliti dan jelas. Dengan hanya sehelai nota, beliau masuk mengajar ke bilik kuliah dan berjaya menghabiskan syarahannya tepat pada waktu tamat.  Beliau mengambilkira minit-minit untuk sesi soaljawab agar tajuk yang perlu disyarahkan berjaya dihabiskan.

Sifat rendah diri beliau lebih terserlah apabila sering bertanyakan contoh-contoh atau pendapat para pelajar, setelah itu meraikannya dengan baik.

Kami, beberapa orang pelajar foreigner turut mendapat perhatian daripada beliau.

image

Sungguh, gaya beliau berfikir sejenak dengan meletakkan jari jemari beliau di sebelah pipi kanan, dibetulkan cermin mata berkali-kali serta nadanya yang perlahan sangat mempesonakan.

Beliau adalah seorang guru yang dikirim dari Syurga…

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”