Bagaimana memilih pasangan?

image

Bila ada yang bertanya kepada saya, “Apa yang perlu saya buat, jika lelaki yang saya kenal itu kurang pada agama. Ya lah, kalau semua orang akan pilih yang bagus-bagus, habis tu siapa yang akan kahwin dengan golongan macam ni?”

Saya berfikir sejenak sebelum saya tekankan bahawa lelaki dan perempuan yang ‘okay’ atau ‘tak okay’ dari sudut ilmu dan pengamalan agama sebenarnya tak jadi masalah utama. Itu hal yang adjustable.

Yang paling penting ketika memilih pasangan adalah serasi dan sekufu.

Manusia diciptakan memiliki sikap dan pembawakan yang berbeza. Justeru itu, perhatikan sikap-sikap utama bakal pasangan kamu dan sesuaikan dengan sikap-sikap utama diri sendiri.

Sebagai contoh, wanita yang perangainya cepat melenting dan bermulut celupar, sudah pasti tidak akan sesuai dengan lelaki panas baran yang romantik.

Ada juga lelaki yang sangat pemendam dan ignorant. Jika dia berkahwin dengan wanita yang hati lesu dan tidak bijak dalam merangsang perhatian suami dan anak, ini bakal mencetus cuaca dingin dalam rumah tangga. Atau senang kata, inilah antara rumahtangga paling bosan. Akibatnya, ahli rumah lebih suka bersama dengan orang luar yang padanya lebih menarik dan menghidupkan.😘

Sikap dominan pada diri pasangan adalah isu pertama yang perlu ditelitikan. Kalau tak kenal siapa pasangan anda, boleh bertanya kepada keluarga dan rakan terdekat. Kalau malas bertanya, sendiri makan, sendiri tanggung la. 😌

Yang kedua adalah keinginan dan cita-cita dalam hidup. Yang ini pun berkait rapat dengan sikap dominan, terutama bagi yang obses atau keras hati dalam mencapai cita-cita.

Sebagai contoh, seorang agamawan yang menginfakkan seluruh tenaganya untuk berkhidmat kepada masyarakat dari sudut ilmu, kurang sesuai apabila berkahwin dengan seorang doktor yang menyerahkan jiwa raganya untuk berkhidmat kepada pesakit. Kedua-duanya cantik, okay, baik, perfect. Cuma kurang sesuai apabila pekerjaan mereka menyebabkan komunikasi yang renggang.

Saya sendiri mendengar berita, ada ustaz menceraikan isterinya yang merupakan seorang doktor. Ia gara-gara pasangan jarang bertemu mata. Akhirnya, kehendak suami dan isteri terabai akibat tidak mampu menyelaraskan waktu bersama.

Ya, kalau mampu elakkan punca-punca yang menyebabkan hubungan dingin, kahwinlah dengan sesiapa pun.

Seterusnya adalah sekufu dari sudut keluarga, kewangan dan ilmu pengetahuan. Sekufu ini bukan bermaksud sama atau dekat-dekat sama. Tapi ia boleh disesuaikan.

Suami terlajak miskin dan jenis tak reti buat duit, bila meminang anak gadis yang kaki shopping, memang cari nahas la. Inipun bergantung pada isu pertama juga, iaitu isu attitude si perempuan tu. Kalau kaki shopping, tapi tasaufnya kuat, tak apalah. Hah hahahaha 😝😝😝

Dan untuk memilih, sila abaikan soal emosi dan hati. Sebab ramai yang papa duit, papa isteri, papa bahagia, gara-gara terlanjur emosi dalam membuat tindakan.

Sedarlah, cinta tu suatu rasa yang mampu berubah-ubah. Kes cerai yang berlambak di pasaran pun, kahwin dulu sebab cinta jugak kan?

Semoga bermanfaat 😁😎😎😎

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”

Advertisements

Di sebalik cerita

Januari lalu, kami mula pindah masuk ke White House (rumah indah kami enam beradik di Hayyu 7, Cairo). Oleh kerana rumah kosong tanpa perabot, kami melapangkan satu hari khusus untuk shopping segala barang penting seperti tilam, mesin basuh, peti sejuk dan lain-lain.

Kami meminta agar pihak kedai menghantar barangan tersebut pada waktu malam supaya lebih mudah. Alhamdulillah, prosesnya berjalan lancar, kecuali dari pihak kedai elektronik yang menghantar peti sejuk dan mesin basuh.

Oleh kerana sibuk ke sana sini, kami tidak menelefon pihak kedai elektronik. Mereka janji untuk menghantarnya pada sekitar jam 6 malam, ternyata lambat beberapa jam.

Setelah selesai banyak urusan, kawan saya memberikan kad kedai elektronik untuk dihubungi. Ketika itu, kami sedang duduk di sofa groundfloor bangunan. Baru sahaja hendak menelefon, kami agak terkejut melihat seorang lelaki 50-an berdiri di hadapan kami. Di belakangnya ada mesin basuh dan peti sejuk. Dia benar-benar kelihatan letih.

Pakcik yang merupakan pemilik kedai elektronik tersebut menegur marah dengan nada sederhana, “Kenapa saya telefon kalian, tidak diangkat?”

Saya melihat phone saya, memang dari tadi, tiada misscall. Saya cakap tiada.

Kemudian dia membalas, “Dah kenapa kamu tidak menelefon saya?”

Saya terdiam. Belum sempat saya menjelaskan, dia berkata, “Saya dah lalu sini berapa kali menaiki kenderaan sewa. Telefon tak dapat. Sehinggalah saya terpaksa angkut barang ini di belakang saya.”

Dia jelas marah, tetapi tetap menjaga nadanya untuk tidak tinggi. Semasa pergi ke kedainya petang tadi, dia memang seorang yang peramah dan baik.

Saya tidak mahu dipersalahkan secara total, kerana memang tiada misscall daripada pakcik itu. Saya berkata, “Mungkin kamu tersalah tulis.

Mendengar telahan saya, dia terkejut dan marah, “Saya? Saya pulak yang salah?”

Saya pun menjawab, “Tak mengapalah, saya yang salah.”

Dia pun mengeluarkan phone dan kertas yang tertera nombor saya sambil berkata, “Nah, ini nombor yang kamu beri tadi. Tengok di telefon ini, dah banyak kali saya call.”

Saya dan kawan melihat kertas dan telefonnya. Saya terus meminta maaf berkali-kali. Saya memberinya air, tetapi dia tidak mahu. Air itu saya passkan kepada Yam untuk diberikan kepadanya. Dan, dia ambil pula dari tangan Yam. Kemudian dia berlalu pulang sambil mengheret besi pengangkut.

Nana berkata, “Tadi pakcik itu yang salah call nombor. Tertukar nombor. Nombor Kak Adah dah betul atas kertas.”

Saya senyum dan membalas, “Biarlah. Kasihan kat dia. Orang tengah letih, tengah marah.”

Saya fikir, membiarkan anggapannya bahawa saya silap lebih baik untuk dia. Sebab, kalau dia tahu dia sendiri yang silap, pasti dia merasa lebih serba salah kerana memarahi saya. Lagipun, saya pun salah kerana tidak menelefonnya lebih awal.

Dan pada saya, tidak semua hal perlu diperjelaskan. Kalau yang terabai itu hak saya, saya tidak terlalu kisah.

Seperti kes yuran, saya sudah membayarnya 550le, tetapi pihak pengurus kata, 500. Jadi saya terpaksa tambah.

Ya, tak mengapalah. Pembayaran tersebut tiada hitam putih. Jadi, saya pun barangkali silap ingat. Justeru itu, lebih baik mengikut kata orang. Agar, jangan sampai hak orang pula yang dizalimi.

Saya percaya bahawa manusia terlalu pendiam. Banyak kisah sebenar yang disembunyikan. Sebabnya, mungkin kerana malas memanjangkan isu, tidak mahu hubungan renggang, mahu memuaskan hati orang instead of hati sendiri, atau letih nak pertahankan hak diri. Atau ribuan sebab lain lagi.

Orang menuduh dan salah anggap terhadap saya sebelum tahu kenapa saya berbuat sesuatu. Dan saya hanya tersenyum.

Kerana diri saya beginilah, saya percaya, bahawa manusia lain pun serupa. Mereka yang salah, tak semestinya salah. Mereka yang benar, tidak setotalnya benar.

Melihat manusia, saya teringat pada tuhan. Dia sering menyembunyikan kebenaran di belakang kebatilan. Agar kita tidak berani menghukum. Agar kita berbuat semahunya Dia, bukan semahunya kita.

Bukankah Dia berkata, “Boleh jadi yang baik menurutmu, adalah sebenarnya buruk bagimu. Boleh jadi yang buruk menurutmu, sebenarnya lebih baik untukmu.”

Berbuatlah semahu dia,
#Jangan cepat mengukur dan menghukum orang.
#Berbaik sangka lebih baik daripada menzalimi orang dengan prasangka sendiri.
#I love human because they are god’s.

=’)

Erase! Erase!

Berkata orang bijak pandai,
“Umat ini diuji oleh pihak-pihak yang menyangka Allah s.w.t tidak memberi hidayah melainkan mereka sahaja…”

Letih sudah…

Penat melihat saudara-saudara cerdik pandai, dari yang remaja hingga ke tua bangka.

Kasihan melihat orang cerdik pandai yang terlalu gopoh menerima dan menghukum sesuatu. Tak kurang juga yang obses terhadap maklumat baru.

Hanya semalam, mereka diberitahu tentang sesatnya kumpulan yang duduk-duduk di kubur. Hari ini, menyumpah seranah seraya berkata, “Ini batil dan ini haram!”

Habis semua orang dilaknatnya. Entah berapa orang sahaja yang soleh moleh atas dunia ini.

#OBSES

Kawan, urusan ini tak mudah. Kalian sahaja tidak suka dituduh-tuduh. Dihina sesat dan salah. Bukan?

Kalian sahaja pasti terkelu apabila terabai tanpa diberi ruang penjelasan.

Atau kalian sangat kecewa jika penjelasan yang kalian berikan tidak mendapat perhatian. Akhirnya, tuduhan tersebut terus viral dan meliar ke telinga kawan dan awam.

Hal yang kecil sahaja kita tak mampu tanggung. Inikan pula tuduhan sesat dan syirik.

Menuduh orang syirik dan sesat ada prasyaratnya yang telah disusun oleh para ulamak. Kalau main-main tuduh, bimbang syirik itu kembali kepada sang berkata.

Ha, justeru itu, diam lebih baik. Serahkan kepada orang yang lebih berilmu memperbincangkannya.

Orang bodoh yang memandai-mandai dengan tubuh pesakit di bilik pembedahan pun, rasa nak hantuk je kepala dia. So begitu juga orang lain yang melihat kita memandai-mandai dalam urusan sebegini.

Yang paling penting, seorang muslim, TIDAK BOLEH DIPERSYIRIKKAN, iaitu mengatakan beliau sesat, kafir dan seumpamanya, selagimana perbuatan yang dilakukannya adalah di bawah perkara khilaf. Iaitu menjadi perselisihan pendapat di kalangan para ulamak.

Orang yang bertawasul, ramai ulamak yang mengatakan boleh bertawassul dengan orang soleh yang telah meninggal dunia. Dan tidak kurang sedikit yang tidak membenarkannya. Jadi, isu ini khilaf.

Kita tidak mahu. Atau merasa itu tidak logik dan karut. Terserah kita! Dan mereka yang merasa perbuatan itu ada manfaatnya dan ada dalil hujahnya, lalu terserah mereka!

Orang lain memakai pendapat ulamak. Kita pun mendengar kata ulamak. Jadi kebenaran mutlak milik siapa itu tidak wujud. Justeru menghukum orang secara berlebihan hanya menampakkan diri sendiri yang terlebih bodoh.

Kita satu umat, menjadi lemah kerana tidak pandai merai perbezaan. Sedangkan terkadang, kebenaran itu sendiri memiliki tanda soal yang jawapannya tidak mampu dibongkar di atas dunia ini.

Berkata kesat, melaknat, mencela, mengkafirkan, menuduh orang sesat, kalau inilah perbuatan kita, maka kita lebih teruk kerana kesemua perbuatan ini haram dan jelas menurut al-quran dan hadis nabi s.a.w.

Sedang mereka yang bertawasul, masih terselamat kerana mampu berhujah di hadapan Allah, “Aku berbuat kerana ulamak ini berkata boleh. Dalilnya sekian, sekian…”

Kita ketika ditanya, “Mengapa kamu mencela si fulan? Menyesatkan si fulan?”

Apa mahu jawab?

Orang lain pun cakap macam tu. Ustaz-ustaz yang mula dulu. Aku buatlah.”

Nah, kita kata ini tiada dalam hadis. Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah sebut. Dalam al-quran tiada.

KALAU ADA, MACAMANA?

Dalam puluhan ribu hadis, hanya berapa ribu yang kita sudah teliti dan faham, sehingga menuduh sesuatu hal tidak pernah disebut Rasul s.a.w?

Saudaraku,

Kerana itulah Rasulullah s.a.w berpesan, “Antara tanda seorang muslim yang baik adalah apabila dia meninggalkan hal-hal yang tiada kaitan dengannya.

Bahkan pernah berlaku dialog antara seorang lelaki dan seorang alim. Lelaki itu berkata, “Aku melihat pencuri.”

Lalu dijawab, “Hal itu tidak ada kena mengena denganku.”

Diberitahu lagi, “Tapi, pencuri itu memasuki rumah tuan.”

Dijawab, “Ya, kalau rumah saya, apa kaitannya dengan kamu?”

Dan seorang alim di Kota Damascus pernah menjawab tika orang bertanyakan tentang para malaikat yang menegur tuhan perihal penciptaan nabi Adam.

Jawabnya, “Hal itu tidak memberi kesan apa pun terhadap kalian, samaada kalian tahu atau tidak tahu jawapannya.”

Semoga kita lebih banyak menggali dan menjadi orang yang berhati-hati, agar tidak menzalimi insan lain dengan pelbagai prasangka dan tuduhan keji lidah sendiri.

Zon ijtihad

Tidak perlu dipersalahkan dua jenis manusia yang hidup di dua alam yang berbeza.

Ketika Nabi Musa hidup di lautan syariat. Nabi Khidhir berlayar di atas hakikat.

Malah tatkala seorang arif billah dihukum gantung, sang qadhi berkata, “Dia dibunuh hanya menurut syarak. Tetapi pada hakikat, dia benar.”

Sayyidi Syeikh Mohammad Said al-Buti sendiri membuat fatwa kerana betul-betul menurut ijtihadnya, ia lebih dekat dengan kehendak syarak dan pemberitahuan Rasulullah saw berkenaan situasi akhir zaman. Beliau mengabaikan manusia yang menggesa agar fatwanya sesuai menurut hawa mereka.

Begitu juga para masyayikh, serta para wali yang lain.

Meskipun hasil ijtihad dilihat buruk dan jelek di mata awam yang berakalkan logik, dia akan kelihatan lebih bodoh bila menggambarkan dirinya tidak faham tentang zon ijtihad.

Orang yang berijtihad pada arah kiblatnya, tidak mungkin mengikut ijtihad kiblat orang lain yang menurutnya zhanni.

Ini satu hal.

Satu hal lagi,

salah memahami maklumat sehingga menghukum seorang alim, wali tanpa dasar tabayun.

Berapa kali mahu dijelaskan, fatwa itu bukan di situ. Fatwa itu untuk daerah lain, tetapi dipergunakan oleh orang macam kamu.

Kebenaran

Orang Islam yang berjuang dalam segenap aliran atau gerakan, kerap menyandarkan kebenaran pada perjuangan mereka.

Bila teruji, mereka merasa ujian itu memang lumrah ke atas orang-orang yang benar. Malah memujuk hati bahawa merekalah seperti para nabi yang turut diuji.

Sedangkan, barangkali mehnah yang ditabur itu agar mereka mengoreksi diri.

Di mana lagi yang perlu dilengkapi?

Dosa apakah yang telah dilakukan hingga jadi begini?

Bermunajat dan bermuhasabahlah. Mungkin di situ tersoroknya kunci.

Umat terbaik

Semalam di program Step3 anjuran IkramMesir, ustaz Zaharuddin Abdul Rahman menyebut perihal yang turut ditekankan oleh Syeikh Ali Jumaah di dalam salah satu muhadharah beliau, iaitu berkenaan hadis wajibnya melazimi sebuah jamaah.

Hadis yang bermaksud, “Bersatulah dengan jemaah orang Islam dan imam mereka.”

Uzar berkata bahawa jemaah yang dimaksudkan adalah khilafah yang mempunyai ulil amri. Pemimpin itulah yang wajib diberikan wala’.

Adapun persatuan dan ngo yang wujud hari ini, ia bukanlah jemaah yang wajib dilazimi sehingga memalitkan dosa pada yang tidak berintima’ di dalam jemaah yang sama.

Manakala baiah yang diakad bagi kebanyakan organisasi islam samaada politikal atau tidak, adalah baiah administrasi.

Justeru itu, orang Islam pada hari ini adalah di dalam jemaah yang satu. Cuma belum ada ulil amri yang paling utama.

image

Step3 di Azhar Conference Centre, Egypt. 27 Mac 2015

Hal ini sangat penting untuk diingatkan bagi menghapus sentimen taasub pada persatuan tertentu yang menyebabkan pecah belah di dalam masyarakat kini.

Demikianlah saya melihat penafsiran bahawa umat Islam adalah sebaik-baik umat. Ini kerana, kita sebuah umat yang mampu bertoleransi sesama kita. Meski wujud perbezaan dalam isu akidah, fiqh, politik, dan gaya fikir, ia tidak menjadi masalah utama. Malah tidak membawa kepada rekahnya nilai ukhuwah Islamiah.

Namun, untuk berpartisipasi sebagai umat yang terbaik, kita perlukan ilmu dan akhlak. Kedua-duanyalah yang bakal mengikat kita antara sesama, walaupun wujud noktah perbezaan di beberapa sudut.

Saya, meskipun menjebakkan diri dalam perbincangan isu ikhwan, politik mesir, taadud jamaah dan aliran, saya (harapnya) dapat mengekalkan nilai ukhuwah yang wujudnya sejak azali.

Ya, saya berfahaman akidah Asyairah, bermazhab Syafiiyah dan bermanhajkan sufiyah, tetapi kami diajar untuk sentiasa mengasihi dan mengasihani saudara semuslim, hatta notyet-muslim.

Lantangnya kami menegur kepincangan yang ada, antaranya pada aliran salafiyah, liberalisma, isu ikhwanul muslimin serta permasalahan politik negara, ia hanya sunnah ilahiyah. Sunnah untuk berbeza dan memikul fahaman serta pemikiran yang kita pegang sebagai yang benar.

Atas segala hal, kita tetap bersaudara, saling mencintai dan menghormati sesama kita.

Dan, ini benar-benar sukar.

image

This is my friend from IkramMesir. =)

Tatap mata gua

image

Pertemuan itu penting.

Lebih-lebih lagi, bertentang mata sesama keluarga dan kawan.

Ada orang, bekerja untuk selamatkan ummah, majukan negara.

Cuma dia terlupa, terkadang dua pasang matanya yang jarang bertatap sesama anak, pasangan dan saudara, menjadi punca ummat ini tersadai lemah. Serta negara yang bermasalah.

Ehsan dalam berhutang

Saya malu untuk bercakap soal hutang. Kerana, saya sendiri kadang-kadang terperangkap dalam isu ini. Pemberian hutang itu terhasil daripada ehsan dan kasih sayang.

Bukankah baginda saw berpesan bahawa barangsiapa yang menghapuskan kesukaran yang dihadapi oleh saudara seimannya, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya hal-hal yang sukar.

Meskipun begitu, Baginda saw turut menasihati orang yang berhutang agar segera melunaskannya.

(مطل الغني ظلم)

Kerana lambat dalam membayar semula hutang adalah satu bentuk kezaliman ke atas pemberi hutang.

Walau bagaimanapun, sang pemberi hutang walau merasa terdera dengan wang yang belum dikembalikan, Rasulullah saw sendiri memujuknya dengan maksud sabdanya,

“Barangsiapa yang memberi hutang sehingga sesuatu tempoh, maka jumlah hutang itu dikira sedeqahnya sepanjang tempoh tersebut. Apabila tempoh yang diberikan tamat, maka jumlah itu dilipat sebanyak dua kali ganda sebagai sedeqahnya bagi setiap hari yang tertunda…”

Memberi hutang adalah ehsan.
Membayar hutang juga ehsan.