Berserahlah

Sampai suatu ketika, saya tidak dapat fokus di tempat kerja. Pelbagai masalah bertamu di kepala. Balik rumah, terpaksa terus tidur dek sakit kepala bersangatan.

Antara isu besar, tiket flight parent disuspendedkan oleh Emirates. Untuk dapatkan status asal, harus bayar penalti sekitar dua ribu ke tiga ribu ringgit.

Saya bergaduh dengan ejen yang issue tiket hingga terpaksa meminta tolong dari ejen lain. Hampir seminggu ejen cuba selesaikan penalti tiket, namun malangnya tak berjaya juga. Ada cara, cuma agak merugikan.

Ikhtiar akhir, saya perlu beli tiket baru. Duit yang ada cuma tiga ribu. Tapi tiket waktu itu paling murah rm1850 tiap satu.

Saya fikir, tak mengapalah, beli saja. Berbanding hidup tak bahagia beberapa hari, baik saya kosongkan akaun bank untuk kembali bernyawa lega.

Dengan berat hati, saya suarakan di group sahabat di Mesir bahawa saya perlukan pinjaman. Saya berkerja di Mesir, mereka pun tahu, jadi saya mampu untuk membayar semula.

Saya paling tidak suka berhutang mahupun meminta hutang. Situasi kali ini, benar-benar mengecewakan saya.

Dalam beberapa minit, sahabat-sahabat respon. Ada yang cakap, “Saya nak tolong. Mungkin kita kumpul duit sikit-sikit sorang, boleh kot.”

Ada yang mesej private, minta nombor akaun. Saya katakan pada dia, jangan beri pinjam kalau awak pun memerlukan. Saya kata begitu kerana dia isteri orang. Sudahpasti banyak wang yang menjadi keperluan.

Ada yang balas, “Saya boleh tolong. Cakap sahaja amaunnya.”

Saya tersentuh. Terharu dengan sikap mereka yang sentiasa ada tika susah.

Sebelum kepada mereka, saya terlebih dahulu meminta daripada Tuhan.

Saya sedar. Saya merancang banyak urusan. Pelajar baru ke Mesir. Rumah pelajar dan parent di Mesir nanti. Perkahwinan kakak. Perniagaan saya. Perniagaan orang. Urusan rumah kawan dan perancangan untuk cover kerugiannya yang beribu ringgit. Banyak. Saya rancang, fikir dan tulis.

Mungkin saya lupa untuk merendah diri. Lalai untuk berhenti berfikir dan merancang seketika bagi menunaikan hak Tuhan dan majikan.

Saya merasa hebat kerana mampu melakukan semuanya. Barangkali banyak lagi adegan riak yang berepisod dalam kalbu, dengan sedar atau tanpa sedar.

Akhirnya, dalam sujud saya rebahkan segalanya. “Wahai Tuhan, cukup. Aku berhenti di sini. Ambillah semua urusanku kerana Engkau sahaja yang Maha Berkuasa. Ampunilah sikapku yang melampau ini.”

..zzZzzZ….. Sakit kepala terus hilang dan saya terlelap dengan lena seusai BERSERAH KEPADA YANG BERHAK.

……

Setiap hari saya check harga tiket. Mahal seperti biasa. Hinggalah saya bertanya kepada seseorang tentang tiket termurah yang dia tahu. Ternyata ada. Baru sahaja ada.

Saya terkejut. Nilainya RM2923. Cukup fit dengan wang yang dimiliki.

Allah……..

Dan Dia jugalah yang berkata, “Tidaklah seseorang itu diuji melainkan dalam batas kemampuannya….”

Selagi kita bermegah, tak berserah, selagi itulah urusan kita payah, jiwa kita resah.

Terima kasih sahabatku.

Special tag M Hidayu Haris. Hahahha.

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”

Baru ku tahu – part 3

Aku keluar dari dewan exam. Hati kecewa. Dua exam untuk hari ini kurang memuaskan. Mana tidaknya, ketika selesai exam fiqh, ada kawan datang beritahu bahawa dia ternampak markah untuk exam fiqh aku. 10/20. Hmmm.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, aku cuba muhasabah diri.

Aku dah habis baca buku, bukannya tidak.

Al-quran pun sempat lancarkan sikit.

Tiba masa untuk oral, tersasul.

Kosong…

………………….

Tahun lepas, pada pagi hari exam Usulfiqh. Berbaki lagi beberapa jam sebelum exam bermula. Buku belum habis dibaca. Semakin aku cuba, semakin aku tertekan. Dan tiada apa yang aku faham saat itu.

Oleh kerana terlalu stress, aku tutup buku dan tidur. Ketika itu jam 10 lebih. Exam jam 1 petang.

Aku fikir dua perkara.
Skip exam.
Atau, pergi exam ala kadar saja.

………………..

Suatu petang, aku pergi ke sebuah restoran. Aku memesan lauk ikan.

Ternyata, aku terpaksa menunggu terlalu lama. Oleh kerana itu, aku membatalkan order dan  meninggalkan restoran tersebut dengan rasa lapar dan kecewa.

Baru beberapa langkah berlalu, aku terdengar suara orang memanggilku. Aku toleh ke belakang. Kelihatan seorang chef berdiri di muka pintu belakang restoran.

Aku mendekatinya. Lalu dia menghulurkan satu plastik. Aku mengintai isinya. Ternyata, ia lauk ikan yang kupesan tadi. Cuma, ia kurang sempurna.

………………

Aku terkejut dari tidur. Panas. Mendebarkan. Jam sekitar 11 pagi.

Aku terasa sebak dengan mimpi sebentar tadi. Lalu, aku bangkit dan kembali duduk di meja study. Buku tebal itu kubelek dan hafal dengan penuh sabar. Tiada niat untuk menyelesaikannya sehingga habis. Tetapi cukuplah, berusaha semampu yang mungkin selagi ada waktu yang berbaki.

………………….

Mimpi itu,

Tuhan ingin memberi. Cuma sang  hamba yang tidak mengenal sabar. Lalu menyangka untuk dirinya tiada. Sedangkan tuhan telah menetapkan sesuatu buatnya. Dengan kadar yang terbaik dari sisiNya.”

……………..

Berusahalah. Bermati-matilah.

Tetapi jangan sampai kau hilang percaya pada tuhan. Bahawa Dialah yang maha memberi kepadamu selama ini.

……………..

Aku punya cita-cita yang besar. Jauh dan tinggi. Lalu aku menjerit pada hati,

Wahai cita-citaku yang besar, aku ada Tuhan yang lebih besar! Maha Besar!”

Agar aku pujuk hatiku, bahawa perancangan tuhanku adalah benar. Cita-cita cuma fantasi untuk aku terus hidup dan menjalani perancangan tuhan itu. 🙂

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”

Baru ku tahu – Part 1

Alhamdulillah, meski banyak kali timeline terpaksa diextend, aku sempat habiskan bacaan sebelum ke kuliah bagi peperiksaan oral.

Sekitar 9.15 pagi, aku berkejar ke sana sambil menjangkakan isu tahunan, iaitu sistem bilik peperiksaan. Di Azhar, tiada bilik khusus bagi exam untuk setiap tahun fakulti. Ia hanya menampal kertas lajnah di mana-mana bilik, jadi para pelajar terpaksa mencarinya sendiri.

Sebaik sahaja tiba, aku bertanya kepada sahabat-sahabat tentang di manakah bilik exam. Malangnya, baru satu lajnah yang ditemui daripada berbelas-belas lajnah.

Aku mula meredah kesesakan para pelajar di Bangunan Fakulti Pengajian Islam. Terlalu ramai orang. Di tangga, koridor, groundfloor, bahkan di setiap sudut. Para pelajar berkerumun, ada yang masih mencari seperti aku, ada yang sedang mengulangkaji dan tidak kurang juga yang bersembang.

Agak panas bila tangga yang sepatutnya boleh dua line, hanya menjadi satu line, gara-gara pelajar arab yang duduk di tangga. Di line yang satu itulah orang ramai mahu naik turun. Dan aku, tak sah kalau tak marah-marah arab. Lagi panas bila diorang tak dengar pun aku marah.

Maybe sebab marah dalam hati. =D

3-4 kali aku naik turun dari tingkat satu ke tingkat tiga. Majoriti bilik sudah didouble-check. Masih belum jumpa. Kawan aku yang dari lajnah lain pun sama.

Sehingga sekitar jam 10.30 pagi, aku dan kawan buat keputusan untuk naik sekali lagi. Kali ini, mahu buat triple-check bermula di tingkat tiga. Haha.

Alhamdulillah, jalan-jalan, dengar orang sebut, “Siapa dengan Dr. Fathiyah?”

Apa lagi, “Saya! Saya! Ini Dr. Fathiyah Hanafi kan? Tahun 2 Syariah.”

Kami pun ikut pembantu dukturah tadi. Rupa-rupanya, baru nak cari bilik yang kosong untuk dibuat exam.

Sampai dalam dewan Fakulti Bahasa Arab, saya mengambil tempat duduk. Menarik nafas lega dan mula membuka buku. Terasa macam dah lupa semuanya.

Dari sudut itu jugalah, saya memerhati pembantu dukturah menulis sesuatu di atas kertas dan menampalnya di muka pintu.

Elok sangat. =P

Bersambung…

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”

Wali

Atas bumi inilah, bertebarnya sekalian para wali Allah. Mereka adalah segolongan manusia yang disayangi tuhan.

Banyak sebab kenapa mereka digelar wali. Antaranya, kerana beratnya ujian dan ikhlasnya amalan.

Wali itu, sebagaimana kata ulama, ada wali yang mengenal dirinya wali. Ada wali yang tidak tahu tentang kewalian dirinya, tetapi disedari oleh orang lain. Dan ada juga yang tiada sesiapapun tahu tentang kewalian diri sendiri.

Apa hebatnya tentang pangkat wali ini?

Rasulullah s.a.w pada suatu hari meriwayatkan sebuah hadis qudsi. Yang mana Allah s.w.t berfirman,

Barangsiapa yang menyakiti wali-Ku , maka Aku isytiharkan perang kepadanya.”

Hatta di dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman,

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak merasa bimbang, dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka adalah orang-orang yang beriman dan selalu bertaqwa.” (Yunus: 62-63)

Pagi ini, aku bertanya kepada housemateku, “Tahu tak kenapa Allah merahsiakan kewalian seseorang?

Bukankan seseorang itu tidak ada bukti kukuh bagi mendakwa dirinya sang wali? Justeru itulah, kewalian adalah satu hal yang amat sulit untuk dibongkar, siapa dan apakah amalan mereka.

Ada orang yang zahirnya tidaklah kelihatan begitu warak. Namun barangkali, dia merupakan wali yang tersorok dari mata awam.

Housemateku diam dan kelu tanpa jawapan. Aku pun menjelaskan,

Kerana wali itu tidak boleh disakiti. Dan apabila kewalian diri seseorang pun kita tak mampu mengenalpasti, kita terpaksa menghormati, menjaga hati dan berbuat bakti kepada sesiapa pun. Bimbang-bimbang, orang itu adalah wali.”

Syeikh Said Ramadhan al-Buti mengajarkan kepada kami hakikat ini. Beliau seorang yang menghormati sesiapapun. Malah, tidak pernah wujud orang yang hina di matanya.

Beliau pernah berkata bahawa di majlis ilmunya, hadir para wali. Ini kerana, ada saja lintasan hati serta ilham yang digerak tuhan, lalu beliau ajarkan kepada hadirin. Barangkali, ilmu yang datang itu kerana mereka.

…………

Dan dengan rahsia inilah, hidup manusia terisi cinta. Kerana di mata kita, nampak tuhan, dan di mata kita jualah tampak makhluk-Nya.

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”

Erase! Erase!

Berkata orang bijak pandai,
“Umat ini diuji oleh pihak-pihak yang menyangka Allah s.w.t tidak memberi hidayah melainkan mereka sahaja…”

Letih sudah…

Penat melihat saudara-saudara cerdik pandai, dari yang remaja hingga ke tua bangka.

Kasihan melihat orang cerdik pandai yang terlalu gopoh menerima dan menghukum sesuatu. Tak kurang juga yang obses terhadap maklumat baru.

Hanya semalam, mereka diberitahu tentang sesatnya kumpulan yang duduk-duduk di kubur. Hari ini, menyumpah seranah seraya berkata, “Ini batil dan ini haram!”

Habis semua orang dilaknatnya. Entah berapa orang sahaja yang soleh moleh atas dunia ini.

#OBSES

Kawan, urusan ini tak mudah. Kalian sahaja tidak suka dituduh-tuduh. Dihina sesat dan salah. Bukan?

Kalian sahaja pasti terkelu apabila terabai tanpa diberi ruang penjelasan.

Atau kalian sangat kecewa jika penjelasan yang kalian berikan tidak mendapat perhatian. Akhirnya, tuduhan tersebut terus viral dan meliar ke telinga kawan dan awam.

Hal yang kecil sahaja kita tak mampu tanggung. Inikan pula tuduhan sesat dan syirik.

Menuduh orang syirik dan sesat ada prasyaratnya yang telah disusun oleh para ulamak. Kalau main-main tuduh, bimbang syirik itu kembali kepada sang berkata.

Ha, justeru itu, diam lebih baik. Serahkan kepada orang yang lebih berilmu memperbincangkannya.

Orang bodoh yang memandai-mandai dengan tubuh pesakit di bilik pembedahan pun, rasa nak hantuk je kepala dia. So begitu juga orang lain yang melihat kita memandai-mandai dalam urusan sebegini.

Yang paling penting, seorang muslim, TIDAK BOLEH DIPERSYIRIKKAN, iaitu mengatakan beliau sesat, kafir dan seumpamanya, selagimana perbuatan yang dilakukannya adalah di bawah perkara khilaf. Iaitu menjadi perselisihan pendapat di kalangan para ulamak.

Orang yang bertawasul, ramai ulamak yang mengatakan boleh bertawassul dengan orang soleh yang telah meninggal dunia. Dan tidak kurang sedikit yang tidak membenarkannya. Jadi, isu ini khilaf.

Kita tidak mahu. Atau merasa itu tidak logik dan karut. Terserah kita! Dan mereka yang merasa perbuatan itu ada manfaatnya dan ada dalil hujahnya, lalu terserah mereka!

Orang lain memakai pendapat ulamak. Kita pun mendengar kata ulamak. Jadi kebenaran mutlak milik siapa itu tidak wujud. Justeru menghukum orang secara berlebihan hanya menampakkan diri sendiri yang terlebih bodoh.

Kita satu umat, menjadi lemah kerana tidak pandai merai perbezaan. Sedangkan terkadang, kebenaran itu sendiri memiliki tanda soal yang jawapannya tidak mampu dibongkar di atas dunia ini.

Berkata kesat, melaknat, mencela, mengkafirkan, menuduh orang sesat, kalau inilah perbuatan kita, maka kita lebih teruk kerana kesemua perbuatan ini haram dan jelas menurut al-quran dan hadis nabi s.a.w.

Sedang mereka yang bertawasul, masih terselamat kerana mampu berhujah di hadapan Allah, “Aku berbuat kerana ulamak ini berkata boleh. Dalilnya sekian, sekian…”

Kita ketika ditanya, “Mengapa kamu mencela si fulan? Menyesatkan si fulan?”

Apa mahu jawab?

Orang lain pun cakap macam tu. Ustaz-ustaz yang mula dulu. Aku buatlah.”

Nah, kita kata ini tiada dalam hadis. Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah sebut. Dalam al-quran tiada.

KALAU ADA, MACAMANA?

Dalam puluhan ribu hadis, hanya berapa ribu yang kita sudah teliti dan faham, sehingga menuduh sesuatu hal tidak pernah disebut Rasul s.a.w?

Saudaraku,

Kerana itulah Rasulullah s.a.w berpesan, “Antara tanda seorang muslim yang baik adalah apabila dia meninggalkan hal-hal yang tiada kaitan dengannya.

Bahkan pernah berlaku dialog antara seorang lelaki dan seorang alim. Lelaki itu berkata, “Aku melihat pencuri.”

Lalu dijawab, “Hal itu tidak ada kena mengena denganku.”

Diberitahu lagi, “Tapi, pencuri itu memasuki rumah tuan.”

Dijawab, “Ya, kalau rumah saya, apa kaitannya dengan kamu?”

Dan seorang alim di Kota Damascus pernah menjawab tika orang bertanyakan tentang para malaikat yang menegur tuhan perihal penciptaan nabi Adam.

Jawabnya, “Hal itu tidak memberi kesan apa pun terhadap kalian, samaada kalian tahu atau tidak tahu jawapannya.”

Semoga kita lebih banyak menggali dan menjadi orang yang berhati-hati, agar tidak menzalimi insan lain dengan pelbagai prasangka dan tuduhan keji lidah sendiri.

Zahir

Manusia ramai meletakkan ukuran mereka pada luaran serta permukaan atas bagi setiap sesuatu. Hasil daripada itu, persepsi dan konklusi tersendiri dilanjutkan ke ruangan realiti seterusnya.

Sebagaimana seseorang yang melihat lelaki muda mendudukkan seorang pengemis tua di kaki lima pada awal pagi, dia terus mengandaikan lelaki muda itu sebagai anak atau sindiket yang sedang mempergunakan wanita tua itu.
{Lelaki muda itu sebenarnya melihat pengemis tua baru turun daripada bas, lalu memapahnya ke destinasi yang dituju.}

Terkadang melihat sekumpulan pelajar bertudung singkat keluar dari kelab malam di sebuah kota eropah, kita menyangka mereka menikmati apa yang ada di dalamnya.
{Mereka musafir yang sangat kelaparan. Tidak cukup wang untuk membeli makanan. Yang ada cuma mi segera yang memerlukan air panas. Lalu ke dalam kelab itu sahaja yang mampu mereka singgah.}

Begitu juga seorang suami yang diberitahu oleh isterinya bahawa dia menjalinkan hubungan sulit dengan salah seorang daripada rakan sekerjanya. Lalu sang suami menyangka bahawa kawannya yang sering berkomunikasi dengan isterinya itulah yang berlaku khianat terhadapnya.
{Mereka sedang bergaduh, dan ternyata sang isteri menipu untuk membuat suaminya cemburu.}

Manusia juga sering terpedaya dengan wajah manusia yang kelihatan simpati. Mereka kerap tertipu dek perkaitanan antara kebenaran dan kezaliman.

Melihat satu pihak yang dizalimi, mereka menyangka bahawa pihak itu benar. Tanpa mengetahui asal sejarah bagi perbuatan pihak yang dikatakan zalim. Malah lebih teruk, alasan pihak tertuduh ditolak dan diputarbelit.

Kita menyangka kita seorang muslim yang baik, kerana menyatakan kebersamaan dan simpati. Tetapi kita tidak pernah berfikir, bahawa barangkali, prasangka dan persepsi kitalah yang sedang menzalimi.

Berfikirlah dengan adil.
Kalau tidak mampu, tinggalkan dan bersangka baiklah. Kerana ia tersangat adil buat semua pihak.

Hati manusia, apabila membenci, akan meludah. Bila mencintai, akan menelan.

Saya rela mencintai, menelan penawar dan racun. Biar saya mati sendiri. Berbanding meludah, hingga dunia ini penuh dengan kotoran dan kebencian.

Pesan Syeikh Muhammad Muhanna,

“Setiap sesuatu ada ahlinya. Kebaikan ada ahlinya. Kejahatan ada ahlinya. Kebenaran ada ahlinya. Kebatilan ada ahlinya. Setiap yang Allah s.w.t ciptakan ada ahlinya.”

Benci juga memerlukan ahli.

Dan demikianlah cinta…

Umat terbaik

Semalam di program Step3 anjuran IkramMesir, ustaz Zaharuddin Abdul Rahman menyebut perihal yang turut ditekankan oleh Syeikh Ali Jumaah di dalam salah satu muhadharah beliau, iaitu berkenaan hadis wajibnya melazimi sebuah jamaah.

Hadis yang bermaksud, “Bersatulah dengan jemaah orang Islam dan imam mereka.”

Uzar berkata bahawa jemaah yang dimaksudkan adalah khilafah yang mempunyai ulil amri. Pemimpin itulah yang wajib diberikan wala’.

Adapun persatuan dan ngo yang wujud hari ini, ia bukanlah jemaah yang wajib dilazimi sehingga memalitkan dosa pada yang tidak berintima’ di dalam jemaah yang sama.

Manakala baiah yang diakad bagi kebanyakan organisasi islam samaada politikal atau tidak, adalah baiah administrasi.

Justeru itu, orang Islam pada hari ini adalah di dalam jemaah yang satu. Cuma belum ada ulil amri yang paling utama.

image

Step3 di Azhar Conference Centre, Egypt. 27 Mac 2015

Hal ini sangat penting untuk diingatkan bagi menghapus sentimen taasub pada persatuan tertentu yang menyebabkan pecah belah di dalam masyarakat kini.

Demikianlah saya melihat penafsiran bahawa umat Islam adalah sebaik-baik umat. Ini kerana, kita sebuah umat yang mampu bertoleransi sesama kita. Meski wujud perbezaan dalam isu akidah, fiqh, politik, dan gaya fikir, ia tidak menjadi masalah utama. Malah tidak membawa kepada rekahnya nilai ukhuwah Islamiah.

Namun, untuk berpartisipasi sebagai umat yang terbaik, kita perlukan ilmu dan akhlak. Kedua-duanyalah yang bakal mengikat kita antara sesama, walaupun wujud noktah perbezaan di beberapa sudut.

Saya, meskipun menjebakkan diri dalam perbincangan isu ikhwan, politik mesir, taadud jamaah dan aliran, saya (harapnya) dapat mengekalkan nilai ukhuwah yang wujudnya sejak azali.

Ya, saya berfahaman akidah Asyairah, bermazhab Syafiiyah dan bermanhajkan sufiyah, tetapi kami diajar untuk sentiasa mengasihi dan mengasihani saudara semuslim, hatta notyet-muslim.

Lantangnya kami menegur kepincangan yang ada, antaranya pada aliran salafiyah, liberalisma, isu ikhwanul muslimin serta permasalahan politik negara, ia hanya sunnah ilahiyah. Sunnah untuk berbeza dan memikul fahaman serta pemikiran yang kita pegang sebagai yang benar.

Atas segala hal, kita tetap bersaudara, saling mencintai dan menghormati sesama kita.

Dan, ini benar-benar sukar.

image

This is my friend from IkramMesir. =)

T.E.R.D.A.M.P.A.R

#pintudisebalikpintu

Bukan senang memahami hikmah. Kalau pun ya, akal kita tidak akan tercapai dalam mengintai rahsia sebenar tuhan.

Dari madrasah ke maahad, yang langsung bukan pilihan hati. Dari maahad ke Kota Syam. Tidak sempat duduk bersimpuh lama di hadapan para murabbi, sudah dihalau keluar.

image

Dan kini, terdampar di Bumi Kinanah. Meski beberapa kali cuba untuk mengalih nasib ke pusat pengajian lain, tetapi entah kenapa, masih di sini juga.

Bertemu dan menyantuni manusia di jalanan, rupa-rupanya di celah mereka Allah sediakan teman.

Apa yang saya tidak mahu, tetap Allah suapkan, persis sang kecil tatkala demam yang enggan makan.

Apa yang saya mahu pula, banyak yang berlaku sebaliknya. Mujur sahaja Dia mengajarkan sebaris kata,

“الرضا عين العبودية”

Cukuplah, saya mengangkat kedua-dua tangan ini dan, “Berbuatlah sesuka Engkau, wahai tuhan.”

Muhammad itu guru cinta

#SemuaKeranaMuhammad

Our beloved prophet, Muhammad pbuh…

Siapa sangka, kita boleh hidup sampai ke umur begini. Hari, bulan, tahun, bahkan abad berlalu, kita masih cekal menjalani hayat yang berbaki.

Dahulu, sebelum mengenalinya, saya benci apa yang saya benci, dan saya sayang apa yang saya sukai. Dan ya, benci itu saya rujuk kepada sosok seseorang itu, apakah perilaku serta pegangannya.

Namun, saya tidak tahu bahawa selama ini, kalau bukan kerana cintanya terhadap manusia (secara keseluruhan), nescaya saya bukan seorang muslim pada saat ini. Namun, bukan sekadar mencintai mereka, Baginda turut mengajarkan kita agar cinta terhadap apapun, malah sesiapapun.

Bukankah yang muslim pada awal turunnya ‘Iqra’, cuma Dia?

Cintanya mengetuk pintu-pintu hati manusia untuk bertamu sebagai kekasih. Ada yang tidak mampu menerima baginda selaku tetamu, tetapi Rasulullah tiada kenal erti jemu. Bahkan indahnya dia di saat berkata,

“Orang-orang ini, meski hari ini menolak cintaku, besok, generasi merekalah yang bakal menyambutku.”

Saya hari-hari mencela diri, “Kamu ini lebih teruk daripada binatang, kerana membenci makhluk.”

Apa yang kita zahirkan, atau memperlakukan terhadap barangan teman kita, itu adalah simbol rasa hati kita terhadap pemiliknya.

Ternyata, apa yang di alam ini, segalanya barang kepunyaan Dia. Lalu di mana mahu ku simpan benci dan murka?

Allahumma solli a’la Muhammad wa ala alihi wa ashabih wa sallim.