Wali

Atas bumi inilah, bertebarnya sekalian para wali Allah. Mereka adalah segolongan manusia yang disayangi tuhan.

Banyak sebab kenapa mereka digelar wali. Antaranya, kerana beratnya ujian dan ikhlasnya amalan.

Wali itu, sebagaimana kata ulama, ada wali yang mengenal dirinya wali. Ada wali yang tidak tahu tentang kewalian dirinya, tetapi disedari oleh orang lain. Dan ada juga yang tiada sesiapapun tahu tentang kewalian diri sendiri.

Apa hebatnya tentang pangkat wali ini?

Rasulullah s.a.w pada suatu hari meriwayatkan sebuah hadis qudsi. Yang mana Allah s.w.t berfirman,

Barangsiapa yang menyakiti wali-Ku , maka Aku isytiharkan perang kepadanya.”

Hatta di dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman,

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak merasa bimbang, dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka adalah orang-orang yang beriman dan selalu bertaqwa.” (Yunus: 62-63)

Pagi ini, aku bertanya kepada housemateku, “Tahu tak kenapa Allah merahsiakan kewalian seseorang?

Bukankan seseorang itu tidak ada bukti kukuh bagi mendakwa dirinya sang wali? Justeru itulah, kewalian adalah satu hal yang amat sulit untuk dibongkar, siapa dan apakah amalan mereka.

Ada orang yang zahirnya tidaklah kelihatan begitu warak. Namun barangkali, dia merupakan wali yang tersorok dari mata awam.

Housemateku diam dan kelu tanpa jawapan. Aku pun menjelaskan,

Kerana wali itu tidak boleh disakiti. Dan apabila kewalian diri seseorang pun kita tak mampu mengenalpasti, kita terpaksa menghormati, menjaga hati dan berbuat bakti kepada sesiapa pun. Bimbang-bimbang, orang itu adalah wali.”

Syeikh Said Ramadhan al-Buti mengajarkan kepada kami hakikat ini. Beliau seorang yang menghormati sesiapapun. Malah, tidak pernah wujud orang yang hina di matanya.

Beliau pernah berkata bahawa di majlis ilmunya, hadir para wali. Ini kerana, ada saja lintasan hati serta ilham yang digerak tuhan, lalu beliau ajarkan kepada hadirin. Barangkali, ilmu yang datang itu kerana mereka.

…………

Dan dengan rahsia inilah, hidup manusia terisi cinta. Kerana di mata kita, nampak tuhan, dan di mata kita jualah tampak makhluk-Nya.

……………………………………………………..

“Kebenaran itu memiliki tanda soal yang terkadang tidak mampu dirungkai di atas dunia…”

Advertisements

Zahir

Manusia ramai meletakkan ukuran mereka pada luaran serta permukaan atas bagi setiap sesuatu. Hasil daripada itu, persepsi dan konklusi tersendiri dilanjutkan ke ruangan realiti seterusnya.

Sebagaimana seseorang yang melihat lelaki muda mendudukkan seorang pengemis tua di kaki lima pada awal pagi, dia terus mengandaikan lelaki muda itu sebagai anak atau sindiket yang sedang mempergunakan wanita tua itu.
{Lelaki muda itu sebenarnya melihat pengemis tua baru turun daripada bas, lalu memapahnya ke destinasi yang dituju.}

Terkadang melihat sekumpulan pelajar bertudung singkat keluar dari kelab malam di sebuah kota eropah, kita menyangka mereka menikmati apa yang ada di dalamnya.
{Mereka musafir yang sangat kelaparan. Tidak cukup wang untuk membeli makanan. Yang ada cuma mi segera yang memerlukan air panas. Lalu ke dalam kelab itu sahaja yang mampu mereka singgah.}

Begitu juga seorang suami yang diberitahu oleh isterinya bahawa dia menjalinkan hubungan sulit dengan salah seorang daripada rakan sekerjanya. Lalu sang suami menyangka bahawa kawannya yang sering berkomunikasi dengan isterinya itulah yang berlaku khianat terhadapnya.
{Mereka sedang bergaduh, dan ternyata sang isteri menipu untuk membuat suaminya cemburu.}

Manusia juga sering terpedaya dengan wajah manusia yang kelihatan simpati. Mereka kerap tertipu dek perkaitanan antara kebenaran dan kezaliman.

Melihat satu pihak yang dizalimi, mereka menyangka bahawa pihak itu benar. Tanpa mengetahui asal sejarah bagi perbuatan pihak yang dikatakan zalim. Malah lebih teruk, alasan pihak tertuduh ditolak dan diputarbelit.

Kita menyangka kita seorang muslim yang baik, kerana menyatakan kebersamaan dan simpati. Tetapi kita tidak pernah berfikir, bahawa barangkali, prasangka dan persepsi kitalah yang sedang menzalimi.

Berfikirlah dengan adil.
Kalau tidak mampu, tinggalkan dan bersangka baiklah. Kerana ia tersangat adil buat semua pihak.

Hati manusia, apabila membenci, akan meludah. Bila mencintai, akan menelan.

Saya rela mencintai, menelan penawar dan racun. Biar saya mati sendiri. Berbanding meludah, hingga dunia ini penuh dengan kotoran dan kebencian.

Pesan Syeikh Muhammad Muhanna,

“Setiap sesuatu ada ahlinya. Kebaikan ada ahlinya. Kejahatan ada ahlinya. Kebenaran ada ahlinya. Kebatilan ada ahlinya. Setiap yang Allah s.w.t ciptakan ada ahlinya.”

Benci juga memerlukan ahli.

Dan demikianlah cinta…

Harapan

Dari jauh, kulihat dia.

Hampir tiga tahun,

Kau hanya kukenal nama.

Aku tahu,

Mustahil antara kita.

Cuma, aku perlukan harapan,

Untuk bernafas lega.

Walau ada seksa,

Disebalik suka.

Dan aku takut.

Saat harapan itu hilang.

Dan awanku mula berduka.

….

Diamlah.

Jangan sampaikan sebarang berita.

Kerana,

Gembiraku tak terkata.

Atau dukaku yang berdarah selamanya.